Thursday, April 3, 2025

Malam Apresiasi Semai Budi

 



DI SINI BERMULA, DI SINI DIKENANG
 
 
 Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pengurusan KOSASS telah menganjurkan Malam Apresiasi Semai Budi (MASEB) 2025 pada 18 Januari 2025 (Sabtu) bertempat di Monkey Canopy Resort, Cheras. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mazlan Lazim, Presiden Alumni PALAPES U-Putra (ALPUTRA). MASEB 2025 turut diserikan lagi dengan sumbangan dari barisan penaja iaitu Opah Strawberries, Persatuan Komuniti Prihatin, Zar Lynx Sdn. Bhd., Tumparak Sdn. Bhd., Persatuan Pendidikan Mimosa dan Plus Sixty Coffee. Majlis ini telah meraikan seramai 53 orang pelajar tahun akhir yang hadir dengan tradisi ‘Datang bersambut, pulang berhantar’ yang diamalkan oleh KOSASS saban tahun.
MASEB 2025 diadakan untuk menghargai dan meraikan pelajar tahun akhir KOSASS, UPM atas pencapaian serta sumbangan mereka sepanjang tempoh pengajian. Bertemakan “Bollywood”, majlis ini diserikan lagi dengan slogan “Where Stories Come Alive” yang menggambarkan tema dan bagaimana MASEB menjadi platform untuk mengenang dan menghidupkan semula kisah perjalanan, pencapaian, serta kenangan bermakna bagi pelajar sepanjang berada di KOSASS.
Atur cara program yang merangkumi ucapan pembukaan, persembahan, penyampaian anugerah, dan jamuan makan telah dirangka dengan teliti bagi memastikan kelancaran majlis. Menurut pengarah program, saudari Rabiatul Adawiyah binti Mohammed Azaruddin, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pasukan penganjur untuk memastikan kelancaran majlis, termasuk perancangan yang teliti, kerjasama antara pasukan, dan pengurusan masa yang baik. “Walaupun berhadapan cabaran seperti perancangan logistik, kekurangan dana, penyelarasan jadual tetamu, dan isu teknikal, masalah ini berjaya diatasi melalui kerjasama erat dalam pasukan.” kata saudari Rabiatul Adawiyah lagi. Pelan kecemasan turut disediakan untuk menangani situasi yang tidak dijangka semasa majlis berlansung sebagai langkah keselamatan.
Suasana malam tersebut dimeriahkan lagi dengan acara kemuncak iaitu penyampaian Anugerah Bakti Dikenang (ABK) bagi kategori utama iaitu Anugerah Permata KOSASS. Anugerah ini telah dinobatkan kepada saudari Irina Erliana atas sumbangan signifikan dan pencapaian luar biasanya sepanjang berada di KOSASS. Hiasan dewan yang elegan dengan pencahayaan dramatik serta susunan pentas yang menarik memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.
Saudari Rabiatul Adawiyah meluahkan rasa bangga dan gembira melihat kejayaan program ini. “Saya berasa lega kerana usaha semua pihak membuahkan hasil. Harapan saya adalah agar program seperti ini terus dijalankan dengan kualiti yang lebih baik dan memberikan impak yang lebih besar kepada semua yang terlibat,” katanya. MASEB 2025 bukan sahaja mencerminkan penghargaan tulus kepada pelajar atas usaha dan dedikasi mereka, malahan sekaligus menjadi inspirasi untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.




















No comments:

Post a Comment

Malam Apresiasi Semai Budi

  DI SINI BERMULA, DI SINI DIKENANG       Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) Sesi 2024/2025 dengan ...